CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Novel Izza@Hani Order Form

Friday, 11 November 2011

Ada apa dengan 11.11.11?

Ada apa dengan tarikh hari ini 11.11.11 ya? Tak ada apa-apa yang istimewa sebenarnya melainkan nombornya macam tersusun cantik 111111. Macam batang mancis kena susun. Tarikh ini hanya akan berulang seribu tahun lagi...betul ke? Entah.

Walau apa pun, saya nak update status penulisan saya sebagai rekod diri sendiri :D. Sekarang ni tengah pulon menyiapkan Vampira. Deadline bulan Disember. Sama juga dengan deadline AG4 dan satu projek baharu yang saya usahakan. Sekali lagi, sama seperti tahun 2009, saya produce tiga novel serentak dalam tahun yang sama. Cuma novel-novel yang saya sedang usahakan ni, insya-Allah terbit tahun 2012. Hmmm....2012. Ada apa dengan 2012? Ehehe...sekali lagi untuk peminat numerologi, anda pasti teruja dengan nombor-nombor cantik ini. Apa-apa sajalah....

Saturday, 15 October 2011

Daripada novel ke enovel...Dan Mimpi Pun Bersatu


Saya bercadang hendak menyiarkan semula novel Dan Mimpi Pun Bersatu dalam bentuk enovel. Usaha ini dibuat bagi memberikan peluang kepada peminat novel mengenali novel pertama saya dengan Kaki Novel. Sudah tentu ia tidak disiarkan sepenuhnya. Mungkin 50% saja akan disiarkan semula dalam bentuk enovel yang kini kian popular dalam kalangan penggemar novel.

Mungkin saya boleh mengambil kesempatan 'demam enovel' bagi mempromosi karya-karya lama saya.

P/S: apa pandangan anda mengenai cover versi enovel?

Tuesday, 27 September 2011

Hikayat The X-Files...dulu kami pernah sebumbung

Alkisahnya...saya bukan jenis yang sentimental sepet tak tentu fasal. Cuma bila kenangkan semula, begini rupa-rupanya takdir yang ditulis buat kami yang pernah duduk satu bumbung dalam dunia penulisan tidak lama dahulu. Selepas beberapa ketika, selepas beberapa buah novel diterbitkan, masing-masing berubah arah, mengorak langkah demi memburu cita-cita masing-masing yang hanya disempadani oleh langit. Saya telah berhijrah ke penerbit yang lain. Begitu juga dengan Izzul Izzati dan Anita Aruszi atau nama penanya bersama Buku Prima, Mazni Aznita. Entah bagaimana, suratan atau kebetulan, novel baharu kami muncul hampir serentak waktunya. Cuma novel saya Srikandi vs Arjuna terbit awal sedikit daripada Anita Aruszi@Mazni Aznita, Sayangku Casper dan Izzul Izzati Kelat-kelat Sayang yang kedua-duanya terbit pada September dan Oktober ini.

Walau di mana pun tapak kami berjejak, langit mana yang kami junjung, kami masih memperjuangkan seni yang sama. Moga kami akan terus berkongsi minat dan aspirasi ini demi memperjuangkan seni penulisan.

Thursday, 15 September 2011

Baik-baik memilih kekasih...pesanan Arjuna kepada Srikandi

Baik-baik menanam selasih,
Jangan sampai jatuh ke tanah;
Baik-baik memilih kekasih;
Jangan sampai badan merana.

Siti Wan kembang perintah kelantan,
Nama termasyhur zaman dahulu;
Baik-baik memilih intan,
Takut terkena kaca dan batu.

Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok kedua pandai.

Tema yang saya bawakan dalam Srikandi vs Arjuna agak berat. Ini cubaan pertama saya meneroka satu permasalahan 'alah bisa tegal biasa' yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Berdasarkan laporan kajian oleh Woman Aid’s Organization (WAO) atau Pertubuhan Pertolongan Wanita  bertajuk “Battered Women in Malaysia: Prevalence, Problems and Public Attitudes 1995”, hasil dua kajian yang telah dijalankan antara tahun 1990 dengan 1992 menganggarkan pada tahun 1989, sebanyak 1.8 juta atau 39 peratus wanita berumur 15 tahun ke atas telah didera  oleh suami dan pasangan mereka. Hanya 909 wanita sahaja yang melaporkan kejadian tersebut. Ini kes yang dilaporkan. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan?

Dengan sikap masyarakat kita yang suka 'sembunyi pekung di dada' dan 'menyapu sampah ke bawah tikar', kes keganasan rumah tangga sering disembunyikan daripada pandangan mata umum. Bagi wanita yang terdera, jarang keadilan akan berpihak kepada mereka.

Pertamanya kerana keengganan mereka membuat laporan atau mendapatkan bantuan. Mereka percaya bahawa segala-galanya akan kembali baik. Tetapi apabila penderaan berulang, keadaan akan bertambah buruk sehingga memaksa mereka memencilkan diri, menahan emosi sehingga menyeksa diri sendiri.

Keduanya, tidak ramai yang tahu mengenai saluran undang-undang yang diperuntukan untuk membela nasib wanita yang terdera.

Ketiga, kurangnya sokongan moral daripada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa. Kebanyakan orang akan menuding jari kepada mangsa kerana dikatakan penyebab penderaan itu berlaku ke atas mereka.

Sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah dirujuk ke laman Woman Aid’s Organization (WAO). Semasa entri ini ditulis, lama WAO sedang dinaik taraf.

Wednesday, 14 September 2011

Alhamdulillah...SVSA sudah cetakan kedua


Senarai buku Alaf 21 yang sudah siap diulang cetak
1. ADAM & HAWA
2. KOMPILASI MASAKAN AYAM
3. BERITA DARI HATI
4. BUKAN KERANA SAYANG
5. CINTA PANDANG KE-2
6. DI SEBALIK WAJAH
7. VARIASI GUBAHAN PENGANTIN
8. KASIH BENAR KASIH
9. KETUK-KETUK RAMADAN
10. KETUK-KETUK SHEILA RUSLY
11. KOMPILASI HIDANGAN KERABU
12. KOMPILASI HIDANGAN KEK
13. KOMPILASI LAUK KENDURI
14. KEMAHUAN HATI
15. KOMPILASI MASAKAN BEREMPAH
16. KOMPILASI RESIPI 1 MALAYSIA
17. KOMPILASI SENI KRAF
18. KOMPILASI HIDANGAN RAMADAN
19. KOMPILASI HIDANGAN TELUR
20. MASIH SETIA
21. OMBAK RINDU
22. SETIA HUJUNG NYAWA
23. SAYANGKU MERAJUK
24. SRIKANDI VS ARJUNA
25. UDA & DARA

Saturday, 13 August 2011

Teaser 2 Srikandi vs Arjuna

“Tak ada kerja lain? Terkejut aku tau tak!” marah Ridd geram; cuba melindungi fikirannya daripada dibaca oleh Zaihan.

“Tak baik untuk fighter kalau mudah sangat terkejut.” Zaihan mengingatkan. Tiba-tiba wajah Zaihan bertukar serius. Dia mengalihkan perhatian seketika daripada memandang jalan di hadapan ke wajah Ridd.

Ridd hairan.

“Zarida, aku fikir lebih baik engkau berhenti sahaja daripada jadi fighter. Kalau berhenti daripada taekwondo pun bagus juga.”

Hendak terkeluar biji mata Ridd merenung Zaihan. Dia pantas menoleh dan merenung tirus ke arah Zaihan.

“Kita cakap fasal apa tadi? Tiba-tiba aje masuk bab ni.” Ridd mengeraskan suaranya. “Engkau siapa nak nasihatkan aku? Aku punya sukalah nak buat apa. Dan aku tak suka orang menghalang aku daripada melakukan aktiviti kegemaran aku.” Entah kenapa tiba-tiba sahaja Ridd naik angin.

“Aku tak suka tengok engkau lasak macam tu. Tak manis. Engkau tu...”

“Aku tak nak dengar!” Ridd terus menutup telinganya dengan kedua-dua belah tapak tangan.

****

“Aku tak mahu engkau cedera.”

Ridd menggeleng kepala. Bosan betul kalau orang cakap begitu dengannya. Terlalu bimbang macam mamanya.

“Kalau aku masuk kelas menjahit pun, aku boleh cedera tau tak? Boleh kena jarum ataupun terjahit jari pada mesin dan macam-macam lagi. Silap hari bulan tergunting jari pula,” jelas Ridd bersungguh-sungguh. Tetapi kesungguhannya itu disambut oleh gelak ketawa Zaihan. Ridd merenung marah ke arah pemuda itu.

“Kenapa gelak ni?” Berkerut dahinya memandang pemuda yang macam digeletek-geletek itu. Sukanya dia.

“Engkau?” Zaihan menuding jari ke muka Ridd. “Engkau nak masuk kelas menjahit?” Zaihan semakin galak ketawa. “Boleh ke engkau menjahit?”

Wajah Ridd sudah merah padam menahan marah kerana dikutuk begitu. Cis! Engkau hina aku ya. Nah! Amik sebijik!

Thursday, 11 August 2011

Teaser 1 Srikandi vs Arjuna

“Kalau dah perempuan tu, perempuan juga. Jangan berangan nak berlagak macam lelaki.”

“Engkau....” Tanpa fikir dua kali, Ridd terus mengayunkan turning kick ke arah Zaihan.

Zaihan yang terkejut dengan tindakan tidak diduga itu, secara automatik terus mengelak. “Dah gila?” Marahnya.

“Engkau yang gila. Bencikan perempuan tak tentu fasal. Mak engkau bukan perempuan?” Ridd memang marah waktu itu. Dia sudah tidak peduli dengan apa yang dikatakannya.

“Kurang ajar!” Nampaknya kata-kata Ridd itu seperti menyiram minyak pada bara api. Zaihan terus membalas serangan Ridd dengan double turning kick.

Tendangannya hinggap ke daun pintu. Beberapa sentimeter sahaja daripada kepala Ridd. Maka berlaku perlawanan antara kedua-dua fighter UWB itu.

Sinopsis Novel Izza

...DAN MIMPI PUN BERSATU

Anne
Cinta pertama sewaktu zaman remaja yang terputus di pertengahan jalan bersambung semula selepas lima tahun berlalu. Lantas dia mengharapkan peluang kedua itu berakhir dengan kegembiraan. Malangnya fitnah yang berakhir dengan tragedi meragut segala kebahagiaan yang diimpikan. Dia mangsa pergolakan politik dan perebutan takhta.

Tengku Iskandar
Kematian bonda dan kekanda tercinta menjadikan dia pendendam. Misi mencari dalang yang ingin menghapuskan seluruh keturunannya menjadi agenda. Dalam kesungguhannya mencari pengkhianat, dia sendiri mengkhianati cintanya terhadap satu-satunya wanita yang telah memberikan inspirasi dan semangat untuk terus mencari kedamaian.

Ayrin
Akibat trauma yang dihadapi oleh ibunya, dia membesar tidak seperti gadis biasa. Sepanjang hidupnya dia tidak kenal sesiapa, tiada saudara mahupun rakan yang berkekalan. Dia seorang pengembara yang mengembara mencari erti kehidupan sehinggalah dia tiba di Milenium Perdana. Buat pertama kalinya, dia temui erti hidup dan bersedia untuk mempertahankannya meskipun mengkhianati ibunya sendiri.

Zarul
Hidupnya lengkap dan bahagia. Kasihnya mekar di Milenium Perdana. Namun tanggungjawab kepada keluarga dan negara memaksa dia mengorbankan segala-galanya. Dia terpaksa meninggalkan kehidupan yang dia kenal semata-mata mahu menjalankan tugasnya terhadap satu kehidupan yang begitu asing. Dalam kekeliruan, cinta yang sedang mekar rupa-rupanya tidak pernah jauh daripadanya.

KERANA DIA CINTA
Nurjia Amani atau Gia dijadikan sebagai jaminan kepada penggabungan syarikat. Disebabkan Gia tidak mencintai Rayyan atau Ryan yang juga merupakan Pengarah Urusan Milennium Group, dia telah bersubahat dengan rakan baiknya, Dena yang juga merupakan Pengurus Pemasaran Kumpulan di Milennium Group. Gia telah menyamar sebagai pekerja di Milennium Group untuk mencari kelemahan Ryan yang boleh digunakan olehnya untuk membatalkan perkahwinan tersebut.

Sewaktu bekerja di Unit Penerbitan, Gia telah berkawan baik dengan Kak Intan, Kak Maiyah (PA kepada Ryan) dan Fahrein. Fahrein yang pada mulanya melayan Gia dengan buruk telah berubah menjadi rakan baiknya setelah dia tahu siapa sebenarnya Gia.

Tembelang Gia pecah apabila Ryan mendapat tahu mengenai penyamarannya melalui Dena. Sebagai hukuman kerana Gia telah membohonginya, Ryan telah menjadikan Gia sebagai Setiausaha Eksekutifnya di Millenium Group. Sungguhpun sentiasa berdampingan, Gia gagal mencintai Ryan. Perhubungan Ryan dengan Gia juga tidak begitu baik lantaran mereka sering berselisih pendapat. Gia telah meminta Ryan untuk bersetuju dengan tiga syarat sebaik sahaja mereka berkahwin kelak.

Hubungan Dena dan Gia menjadi renggang setelah Gia dapat tahu Denalah yang membocorkan rahsianya. Dena yang selama ini tidak setuju dengan layanan dan tanggapan Gia terhadap Ryan yang dipujanya, berniat mahu merampas Ryan daripada Gia.

Perkahwinan antara Gia dan Ryan tidak dapat dielakkan. Gia terpaksa akur kerana takut dibuang keluarga sekiranya dia membantah keras arahan ibu bapanya. Sewaktu berbulan madu di Istanbul, Ryan dan Gia cuba memahami situasi masing-masing. Namun sebaik sahaja mereka pulang daripada berbulan madu, Ryan gagal mematuhi tiga syarat yang telah diakuinya sebelum berkahwin dahulu. Gia berasa kecewa tambahan pula dia terpaksa tinggal bersama mentuanya.

Gia berasa hidupnya terkongkong dan dia rasa bagai dipaksa melakukan perkara yang dia tidak suka oleh mentuanya. Disebabkan berasa tertekan, Gia telah melarikan diri ke Cameron Highland. Di sana dia menyelamatkan seorang lelaki bernama Pakcik Bakar daripada kemalangan. Bermula dari situ, hubungan Gia dengan keluarga Pakcik Bakar semakin akrab. Dia berkongsi masalah dengan Makcik Hajar, isteri Pakcik Bakar. Sewaktu di sana, Gia dapat tahu yang dia mengandung. Setelah puas dipujuk oleh Makcik Hajar, akhirnya Gia bersedia untuk kembali ke pangkuan Ryan.

Namun niat baiknya tidak kesampaian apabila Ryan telah menemuinya di sana. Ryan membawa Gia pulang dan layanannya menjadi semakin keras. Niat Gia untuk merahsiakan kandungannya akhirnya terbongkar. Sikap Ryan kepada Gia terus berubah. Dia lebih banyak mengalah dengan kerenah Gia yang tidak menentu. Disebabkan mabuk paginya terlalu teruk, Gia telah meminta Ryan menghantarnya ke rumah Makcik Hajar untuk berehat. Sewaktu berada di sana, Makcik Hajar telah berusaha menyedarkan Gia akan kesilapannya tidak melayani Ryan seperti yang sepatutnya.

Dalam waktu yang sama, Dena telah mengambil kesempatan sepenuhnya atas ketiadaan Gia. Dia telah berjaya mempengaruhi Ryan dan hubungan mereka menjadi semakin erat.

Pujukan dan didikan keagamaan yang diberikan oleh Makcik Hajar telah melembutkan hati Gia untuk memikul tanggungjawab sebenarnya sebagai isteri dan menantu. Dia pulang ke KL dengan harapan untuk memperbaiki keadaan. Malang sekali apabila dia terdengar perbualan antara Ryan dengan Dena. Rupa-rupanya selama ini selama ketiadaannya, Ryan telah membuat perhubungan sulit dengan Dena. Ryan yang sudah mula merasakan cinta terhadap Gia, berasa bersalah dan kesal. Dia cuba menghalang Gia, tetapi gagal.

Disebabkan perasaan kecewa, Gia membawa diri ke rumah Makcik Hajar. Gia telah bersalin tidak cukup bulan. Tapi disebabkan rasa sakit hatinya, dia menipu semua orang termasuk ahli keluarganya sendiri dengan mengatakan yang anak dalam kandungannya itu telah keguguran. Melalui alasan itu, dia meminta cerai daripada Ryan. Ryan terpaksa akur kerana rasa bersalah.

Dena yang merasakan impiannya untuk mendapatkan Ryan sudah tercapai, kecundang jua akhirnya apabila Rezman, sahabat baik Ryan yang telah mengetahui niat jahat Dena, telah memasang perangkap. Akibat perangkap yang dipasang, Dena dan Rezman ditangkap basah sekali gus melepaskan tanggungjawab Ryan yang sepatutnya berkahwin dengan Dena.

Dua tahun berlalu. Gia telah membawa diri ke UK untuk menyambung pelajaran ke peringkat Phd. Dia kembali ke tanah air dengan identiti baru iaitu bertudung dan menukar nama panggilannya kepada Amani, nama yang sebelum ini telah diperkenalkan olehnya kepada keluarga Makcik Hajar. Anaknya Nurjiha Raihanna atau Jiha telah dijaga oleh Makcik Hajar selama pemergiannya. Amani telah mendapat pekerjaan di sebuah agensi pengiklanan. Perkenalan singkatnya dengan Haziq Hidayat atau Zeek, ketuanya telah melahirkan bibit-bibit cinta di hati Zeek. Lantas dia terus melamar Amani.

Amani yang selama ini mencari cinta, sudah menemui cinta pertamanya iaitu cinta kepada Allah. Lamaran Zeek diterimanya kerana dia terharu dengan keikhlasan dan kejujuran Zeek. Zeek tidak memandang serong kepada statusnya sebagai janda beranak satu. Walaupun pada mulanya keluarga Zeek menentang keras apabila mengetahui mengenai penipuan Amani terhadap kelahiran anaknya, akhirnya mereka terpaksa akur dengan kemahuan Zeek.

Ryan yang secara tidak sengaja terserempak dengan Amani dan Zeek telah nekad untuk merebut perhatian Amani semula. Amani pula terpaksa berhadapan dengan Ryan untuk membongkar mengenai kewujudan Jiha. Kesungguhan Ryan semakin kuat untuk merebut kasih Amani. Malangnya dia kecewa apabila mendapat tahu yang bekas isterinya itu telah berkahwin.


KASIH PUN BERSATU

Lanjutan...dan Mimpi Pun Bersatu menyingkap kisah Ayrin dan Zarul yang menyulam cinta dalam penafian. Kasih yang disulam semenjak zaman remaja disangka cinta monyet. Ayrin yang terkesan dengan penolakan Zarul, membawa diri ke Princeton, menyerahkan hatinya untuk dicintai oleh Zaffran.

Saat kasih semakin mekar, Zarul muncul menuntut janji, merampas segala kebahagiaan. Dendam Ayrin terhadap Zarul hampir mengundang pertumpahan darah dua pewaris. Dalam konflik yang tidak berkesudahan, muncul Ellie si penggoda yang meresahkan Ayrin. Dek terikat dengan sumpah setia mengembalikan keagungan keturunan, muncul Laira gadis misteri yang mencurigakan Zaffran.
Antara dendam dan cemburu yang semakin membara, Ayrin dan Zarul terpisah beribu-ribu batu. Namun perpisahan itu mematerikan kasih mereka buat selama-lamanya. Sejarah lama sudah kembali berulang, seolah-olah menjadi legasi al-Muttaqi.

Ketika cinta yang bersemi berada di kemuncaknya, tragedi menimpa merompak kebahagiaan. Ayrin lupa siapa dirinya. Zarul hanyut dalam delusi. Lalu bagaimanakah Zaffran dan Laira mahu menyatukan kasih Zarul dan Ayrin sehingga kembali bersatu....

Fakta Novel

Dalam setiap novel, bermula daripada, Segalanya Cinta saya telah menggunakan latar tempat dan lingkungan kumpulan yang sama.

Fakta 1 Hampir kesemua watak dalam novel saya menganggotai Kumpulan Pirate. Bermula daripada Arissa dan Izhan (SegC), Dania dan Zahim (SebC), dan Anne, Nida dan Badrul (DMPB). Kumpulan Pirate merupakan sebuah kelab rekreasi dan pengembaraan. Aktiviti utama kelab ialah mendaki gunung. Kumpulan ini mempunyai cawangan di setiap IPT yang dinamakan dalam setiap novel.

Fakta 2 Antara universiti yang dinamakan dalam novel ialah Universiti Wilayah Tengah (SegC, DMPB, KDC), Universiti Wilayah Utara (SebC), dan Universiti Wilayah Selatan (DMPB).

Fakta 3 Nida dan Badrul (DMPB) pernah muncul dalam SegC. Nama Anne juga ada disebut dalam novel ini. Malah Pulau Inderapura juga menjadi salah satu latar dalam kedua-dua buah novel. Dalam SegC, pulau ini menjadi lokasi reunion kumpulan Pirate UWT. Dalam DMPB, pulau ini menjadi tempat persembunyian Anne dan Ayrin.

Fakta 4 Taman di mana Gia (KDC) membawa dirinya di kala duka ialah taman yang sama yang dilalui oleh Suzaimi (AGPS). Malah tempat tinggal Suzaimi berhampiran dengan kawasan tempat tinggal Fahrein.

Fakta 5 Nama ketua Gia (KDC) semasa dia menyamar di Jabatan Penerbitan Millenium Publishing ialah Zulaikha Hanafi atau nama penuhnya Anne Zulaikha Hanafi, Permaisuri Kerajaan Dhiyapura (DMPB, KPB) yang juga sedang menyamar kerana menyelamatkan dirinya daripada buruan suaminya, Tengku Iskandar.

Fakta seterusnya akan dimasukkan sedikit demi sedikit.

Hold fast to dreams, for if dreams die, life is a broken winged bird that cannot fly~Langston Hughes

Jom