CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Novel Izza@Hani Order Form

Wednesday, 25 May 2011

Srikandi vs Arjuna....revealed


Saya persembahkan buah tangan terbaharu tahun ini, Srikandi vs Arjuna.

Srikandi vs Arjuna~Izza Aripin
Penerbit: Alaf21

Zarida dan Zaihan belajar di universiti yang sama. Emosi gadis itu tersentak tatkala sering dibuli dan dipandang rendah oleh lelaki itu. Dia berang kerana lelaki itu sanggup berkasar dengan perempuan. Memang lelaki itu menang peraduan fizikal, tetapi dia yakin lelaki itu tunduk dalam pertandingan hati dan perasaan.

Zarida bertekad mahu membuatkan lelaki itu jatuh cinta kepadanya. Selepas lelaki itu rebah di pangkuannya, dia akan memutuskan hubungan mereka, dia akan leburkan kasih itu sebagaimana besi dicairkan. Biar semangat jiwa Zaihan punah, biarkan lelaki itu patah hati. Itu rancangan balas dendam Zarida kerana Zaihan yang berlagak dan dingin itu telah memalukannya dulu.

Sebaliknya, setelah hubungan mereka semakin rapat, pendiriannya mula goyah. Personaliti Zaihan membuatkan hatinya terpaut. Namun, ada satu rahsia dalam sisi hidupnya yang belum diketahui oleh lelaki itu. Dia tidak keruan kerana hakikatnya dia tunangan orang.


2 kongsi pendapat:

  1. sy dh baca no ni..sangat menarik..teringat mase zaman belajar..hehe..novel ni dh jd perebutan antara kwn2 sy..mereka tertarik dan minat untuk membaca novel ini.bila dh abis bce,semua beri pandagan tentang novel ini.ada yg tergelak sorg2,sbb ada kenemegena sedikit awl babak dlm novel ni dgn dia..

    ReplyDelete
  2. hehehe...terima kasih pada awak dan kawan2 sebab suka novel ni. part masa belajar tuh sy tulis masa sy kat uni. sbb tuh sgt2 menjiwai watak...sendiri punya kenakalan...hahahahah.

    ReplyDelete

Sinopsis Novel Izza

...DAN MIMPI PUN BERSATU

Anne
Cinta pertama sewaktu zaman remaja yang terputus di pertengahan jalan bersambung semula selepas lima tahun berlalu. Lantas dia mengharapkan peluang kedua itu berakhir dengan kegembiraan. Malangnya fitnah yang berakhir dengan tragedi meragut segala kebahagiaan yang diimpikan. Dia mangsa pergolakan politik dan perebutan takhta.

Tengku Iskandar
Kematian bonda dan kekanda tercinta menjadikan dia pendendam. Misi mencari dalang yang ingin menghapuskan seluruh keturunannya menjadi agenda. Dalam kesungguhannya mencari pengkhianat, dia sendiri mengkhianati cintanya terhadap satu-satunya wanita yang telah memberikan inspirasi dan semangat untuk terus mencari kedamaian.

Ayrin
Akibat trauma yang dihadapi oleh ibunya, dia membesar tidak seperti gadis biasa. Sepanjang hidupnya dia tidak kenal sesiapa, tiada saudara mahupun rakan yang berkekalan. Dia seorang pengembara yang mengembara mencari erti kehidupan sehinggalah dia tiba di Milenium Perdana. Buat pertama kalinya, dia temui erti hidup dan bersedia untuk mempertahankannya meskipun mengkhianati ibunya sendiri.

Zarul
Hidupnya lengkap dan bahagia. Kasihnya mekar di Milenium Perdana. Namun tanggungjawab kepada keluarga dan negara memaksa dia mengorbankan segala-galanya. Dia terpaksa meninggalkan kehidupan yang dia kenal semata-mata mahu menjalankan tugasnya terhadap satu kehidupan yang begitu asing. Dalam kekeliruan, cinta yang sedang mekar rupa-rupanya tidak pernah jauh daripadanya.

KERANA DIA CINTA
Nurjia Amani atau Gia dijadikan sebagai jaminan kepada penggabungan syarikat. Disebabkan Gia tidak mencintai Rayyan atau Ryan yang juga merupakan Pengarah Urusan Milennium Group, dia telah bersubahat dengan rakan baiknya, Dena yang juga merupakan Pengurus Pemasaran Kumpulan di Milennium Group. Gia telah menyamar sebagai pekerja di Milennium Group untuk mencari kelemahan Ryan yang boleh digunakan olehnya untuk membatalkan perkahwinan tersebut.

Sewaktu bekerja di Unit Penerbitan, Gia telah berkawan baik dengan Kak Intan, Kak Maiyah (PA kepada Ryan) dan Fahrein. Fahrein yang pada mulanya melayan Gia dengan buruk telah berubah menjadi rakan baiknya setelah dia tahu siapa sebenarnya Gia.

Tembelang Gia pecah apabila Ryan mendapat tahu mengenai penyamarannya melalui Dena. Sebagai hukuman kerana Gia telah membohonginya, Ryan telah menjadikan Gia sebagai Setiausaha Eksekutifnya di Millenium Group. Sungguhpun sentiasa berdampingan, Gia gagal mencintai Ryan. Perhubungan Ryan dengan Gia juga tidak begitu baik lantaran mereka sering berselisih pendapat. Gia telah meminta Ryan untuk bersetuju dengan tiga syarat sebaik sahaja mereka berkahwin kelak.

Hubungan Dena dan Gia menjadi renggang setelah Gia dapat tahu Denalah yang membocorkan rahsianya. Dena yang selama ini tidak setuju dengan layanan dan tanggapan Gia terhadap Ryan yang dipujanya, berniat mahu merampas Ryan daripada Gia.

Perkahwinan antara Gia dan Ryan tidak dapat dielakkan. Gia terpaksa akur kerana takut dibuang keluarga sekiranya dia membantah keras arahan ibu bapanya. Sewaktu berbulan madu di Istanbul, Ryan dan Gia cuba memahami situasi masing-masing. Namun sebaik sahaja mereka pulang daripada berbulan madu, Ryan gagal mematuhi tiga syarat yang telah diakuinya sebelum berkahwin dahulu. Gia berasa kecewa tambahan pula dia terpaksa tinggal bersama mentuanya.

Gia berasa hidupnya terkongkong dan dia rasa bagai dipaksa melakukan perkara yang dia tidak suka oleh mentuanya. Disebabkan berasa tertekan, Gia telah melarikan diri ke Cameron Highland. Di sana dia menyelamatkan seorang lelaki bernama Pakcik Bakar daripada kemalangan. Bermula dari situ, hubungan Gia dengan keluarga Pakcik Bakar semakin akrab. Dia berkongsi masalah dengan Makcik Hajar, isteri Pakcik Bakar. Sewaktu di sana, Gia dapat tahu yang dia mengandung. Setelah puas dipujuk oleh Makcik Hajar, akhirnya Gia bersedia untuk kembali ke pangkuan Ryan.

Namun niat baiknya tidak kesampaian apabila Ryan telah menemuinya di sana. Ryan membawa Gia pulang dan layanannya menjadi semakin keras. Niat Gia untuk merahsiakan kandungannya akhirnya terbongkar. Sikap Ryan kepada Gia terus berubah. Dia lebih banyak mengalah dengan kerenah Gia yang tidak menentu. Disebabkan mabuk paginya terlalu teruk, Gia telah meminta Ryan menghantarnya ke rumah Makcik Hajar untuk berehat. Sewaktu berada di sana, Makcik Hajar telah berusaha menyedarkan Gia akan kesilapannya tidak melayani Ryan seperti yang sepatutnya.

Dalam waktu yang sama, Dena telah mengambil kesempatan sepenuhnya atas ketiadaan Gia. Dia telah berjaya mempengaruhi Ryan dan hubungan mereka menjadi semakin erat.

Pujukan dan didikan keagamaan yang diberikan oleh Makcik Hajar telah melembutkan hati Gia untuk memikul tanggungjawab sebenarnya sebagai isteri dan menantu. Dia pulang ke KL dengan harapan untuk memperbaiki keadaan. Malang sekali apabila dia terdengar perbualan antara Ryan dengan Dena. Rupa-rupanya selama ini selama ketiadaannya, Ryan telah membuat perhubungan sulit dengan Dena. Ryan yang sudah mula merasakan cinta terhadap Gia, berasa bersalah dan kesal. Dia cuba menghalang Gia, tetapi gagal.

Disebabkan perasaan kecewa, Gia membawa diri ke rumah Makcik Hajar. Gia telah bersalin tidak cukup bulan. Tapi disebabkan rasa sakit hatinya, dia menipu semua orang termasuk ahli keluarganya sendiri dengan mengatakan yang anak dalam kandungannya itu telah keguguran. Melalui alasan itu, dia meminta cerai daripada Ryan. Ryan terpaksa akur kerana rasa bersalah.

Dena yang merasakan impiannya untuk mendapatkan Ryan sudah tercapai, kecundang jua akhirnya apabila Rezman, sahabat baik Ryan yang telah mengetahui niat jahat Dena, telah memasang perangkap. Akibat perangkap yang dipasang, Dena dan Rezman ditangkap basah sekali gus melepaskan tanggungjawab Ryan yang sepatutnya berkahwin dengan Dena.

Dua tahun berlalu. Gia telah membawa diri ke UK untuk menyambung pelajaran ke peringkat Phd. Dia kembali ke tanah air dengan identiti baru iaitu bertudung dan menukar nama panggilannya kepada Amani, nama yang sebelum ini telah diperkenalkan olehnya kepada keluarga Makcik Hajar. Anaknya Nurjiha Raihanna atau Jiha telah dijaga oleh Makcik Hajar selama pemergiannya. Amani telah mendapat pekerjaan di sebuah agensi pengiklanan. Perkenalan singkatnya dengan Haziq Hidayat atau Zeek, ketuanya telah melahirkan bibit-bibit cinta di hati Zeek. Lantas dia terus melamar Amani.

Amani yang selama ini mencari cinta, sudah menemui cinta pertamanya iaitu cinta kepada Allah. Lamaran Zeek diterimanya kerana dia terharu dengan keikhlasan dan kejujuran Zeek. Zeek tidak memandang serong kepada statusnya sebagai janda beranak satu. Walaupun pada mulanya keluarga Zeek menentang keras apabila mengetahui mengenai penipuan Amani terhadap kelahiran anaknya, akhirnya mereka terpaksa akur dengan kemahuan Zeek.

Ryan yang secara tidak sengaja terserempak dengan Amani dan Zeek telah nekad untuk merebut perhatian Amani semula. Amani pula terpaksa berhadapan dengan Ryan untuk membongkar mengenai kewujudan Jiha. Kesungguhan Ryan semakin kuat untuk merebut kasih Amani. Malangnya dia kecewa apabila mendapat tahu yang bekas isterinya itu telah berkahwin.


KASIH PUN BERSATU

Lanjutan...dan Mimpi Pun Bersatu menyingkap kisah Ayrin dan Zarul yang menyulam cinta dalam penafian. Kasih yang disulam semenjak zaman remaja disangka cinta monyet. Ayrin yang terkesan dengan penolakan Zarul, membawa diri ke Princeton, menyerahkan hatinya untuk dicintai oleh Zaffran.

Saat kasih semakin mekar, Zarul muncul menuntut janji, merampas segala kebahagiaan. Dendam Ayrin terhadap Zarul hampir mengundang pertumpahan darah dua pewaris. Dalam konflik yang tidak berkesudahan, muncul Ellie si penggoda yang meresahkan Ayrin. Dek terikat dengan sumpah setia mengembalikan keagungan keturunan, muncul Laira gadis misteri yang mencurigakan Zaffran.
Antara dendam dan cemburu yang semakin membara, Ayrin dan Zarul terpisah beribu-ribu batu. Namun perpisahan itu mematerikan kasih mereka buat selama-lamanya. Sejarah lama sudah kembali berulang, seolah-olah menjadi legasi al-Muttaqi.

Ketika cinta yang bersemi berada di kemuncaknya, tragedi menimpa merompak kebahagiaan. Ayrin lupa siapa dirinya. Zarul hanyut dalam delusi. Lalu bagaimanakah Zaffran dan Laira mahu menyatukan kasih Zarul dan Ayrin sehingga kembali bersatu....

Fakta Novel

Dalam setiap novel, bermula daripada, Segalanya Cinta saya telah menggunakan latar tempat dan lingkungan kumpulan yang sama.

Fakta 1 Hampir kesemua watak dalam novel saya menganggotai Kumpulan Pirate. Bermula daripada Arissa dan Izhan (SegC), Dania dan Zahim (SebC), dan Anne, Nida dan Badrul (DMPB). Kumpulan Pirate merupakan sebuah kelab rekreasi dan pengembaraan. Aktiviti utama kelab ialah mendaki gunung. Kumpulan ini mempunyai cawangan di setiap IPT yang dinamakan dalam setiap novel.

Fakta 2 Antara universiti yang dinamakan dalam novel ialah Universiti Wilayah Tengah (SegC, DMPB, KDC), Universiti Wilayah Utara (SebC), dan Universiti Wilayah Selatan (DMPB).

Fakta 3 Nida dan Badrul (DMPB) pernah muncul dalam SegC. Nama Anne juga ada disebut dalam novel ini. Malah Pulau Inderapura juga menjadi salah satu latar dalam kedua-dua buah novel. Dalam SegC, pulau ini menjadi lokasi reunion kumpulan Pirate UWT. Dalam DMPB, pulau ini menjadi tempat persembunyian Anne dan Ayrin.

Fakta 4 Taman di mana Gia (KDC) membawa dirinya di kala duka ialah taman yang sama yang dilalui oleh Suzaimi (AGPS). Malah tempat tinggal Suzaimi berhampiran dengan kawasan tempat tinggal Fahrein.

Fakta 5 Nama ketua Gia (KDC) semasa dia menyamar di Jabatan Penerbitan Millenium Publishing ialah Zulaikha Hanafi atau nama penuhnya Anne Zulaikha Hanafi, Permaisuri Kerajaan Dhiyapura (DMPB, KPB) yang juga sedang menyamar kerana menyelamatkan dirinya daripada buruan suaminya, Tengku Iskandar.

Fakta seterusnya akan dimasukkan sedikit demi sedikit.

Hold fast to dreams, for if dreams die, life is a broken winged bird that cannot fly~Langston Hughes

Jom